Gunung Reng yang terletak di kampung Gunong Jeli Kelantan kini dikenali dengan Gunung Reng Eco Park. Tidak pasti sejak bila ianya dinaik taraf tetapi menurut sumber video yang dikongsikan di facebook, menunjukkan papan tanda Gunung Reng Eco Park mula dipasang pada tahun 2024.
Gunung Reng Eco Park merupakan salah satu lokasi pelancongan yang menarik untuk dikunjungi terutama sekali buat mereka yang cinta pada keindahan alam semulajadi. Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan alasan kenapa Gunung Reng perlu menjadi lokasi percutian korang sewaktu datang berkunjung ke Jeli Kelantan.
5 Sebab Kenapa Gunung Reng Eco Park Wajib Dikunjungi
Kalau datang bercuti di Jeli Kelantan nak pergi mana? Soalan yang sering menjadi pertanyaan mereka yang datang ke area Jeli sebab tak banyak tempat menarik disini. Itu sebenarnya salah sebab Jeli menawarkan banyak tempat menarik tetapi mungkin ramai yang tidak tahu. Buktinya adalah Gunung Reng.
Jom kita tengok lima sebab kenapa korang perlu datang ke Gunung Reng Eco Park.
1. Lokasi gunung yang strategik
Gunung Reng Eco Park terletak kira kira 15km dari pekan Jeli dan berada berdekatan dengan jalan utama menuju ke Perak. Jadi, buat mereka yang menggunakan jalan tersebut boleh singgah di Gunung Reng untuk melihat keindahan alam semulajadi sambil berehat dan healing sebelum meneruskan perjalanan yang jauh.
2. Dilengkapi dengan kiosk dan kedai makan
Buat mereka yang datang ke Gunung Reng tidak perlu risau tentang makanan kerana mereka menyediakan kemudahan kedai makan untuk pengunjung. Terdapat beberapa kedai makan dan kiosk makanan yang menjual pelbagai jenis makanan untuk dinikmati.
3. Sesuai untuk aktiviti rekreasi bersama keluarga
Buat korang yang datang ke Gunung Reng Eco Park bersama keluarga boleh berkelah dekat sini sambil menikmati pemandangan gunung yang cantik dan tengok keadaan sungai berdekatan dengannya.
Tak pasti samada pengunjung boleh main dekat sungai dengan lebih dekat atau pun tak sebab sewaktu aku ke sana sungai agak dalam disebabkan oleh musim hujan.
Berdekatan dengan area sungai ada tempat duduk yang disediakan. Jadi, korang boleh lepak dekat situ untuk makan dan berehat. untuk korang yang bawa anak, jangan risau sebab Gunung Reng adalah tempat yang mesra kanak kanak dimana dorang boleh main dekat taman permainan yang disediakan.
Selain itu, korang juga boleh tengok beberapa ekor rusa yang ada disana.
4. Meneroka gua Gunung Reng
Untuk pengetahuan semua, ada gua yang terbentuk di dalam gunung yang boleh diteroka sendiri oleh pengunjung yang datang. Menurut peta gua yang bersejarah ini, terdapat banyak gua yang wujud dan antaranya adalah gua kolam, gua bedak, gua harimau, gua gajah, gua silat dan gua beranginan Puteri Saadong.
Menggunakan laluan mudah akses yang disediakan korang boleh meneroka gua gua di dalam gunung tanpa perlu mendaki. Melihat sendiri formasi batu kapur menarik ini pastinya akan memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
5. Kemudahan asas yang lengkap untuk pengunjung
Berkunjung ke Gunung Reng adalah pilihan yang tepat kerana mereka menyediakan banyak kemudahan asas untuk pengunjung yang datang. Selain kedai makan dan tempat duduk yang banyak, Gunung Reng juga dilengkapi dengan tandas awam dan buat mereka yang ingin menunaikan solat juga boleh singgah di masjid yang berada berdekatan.
Berikut adalah lima sebab kenapa korang perlu datang ke Gunung Reng untuk beriadah bersama kawan kawan dan keluarga tapi sebelum datang, aku nak kongsikan beberapa tips yang berguna untuk korang.
Tips sebelum datang beriadah di Gunung Reng Eco Park
Cuaca di Kelantan selain musim hujan biasanya agak panas pada waktu tengahari. Jadi, aku cadangkan korang datang pada waktu pagi atau pun petang. Sekiranya korang merancang untuk meneroka keadaan dalam gua pastikan pakai pakaian yang sesuai terutama sekali kasut. Jangan pakai selipar yang tapak dia licin. Walau pun ada laluan yang disediakan, keselamatan diri perlu diutamakan.