5 Manfaat Berehat Dari Media Sosial Buat Sementara Waktu | Nombor 2 Paling Best

Pernah tak korang bayangkan hidup tanpa media sosial? Zaman sekarang ini rasanya agak sukar untuk hidup tanpa media social sepenuhnya. Betul tak? 

Setiap hari kita gunakan media sosial seperti whatsapp dan telegram untuk berkomunikasi dengan sesiapa sahaja. Walaupun platform sosial media memberi banyak kemudahan dan manfaat tetapi kadang kadang ianya juga boleh mendatangkan kesan negatif kepada pengguna.

Sosial media di telefon pintar

Instagram, facebook, twitter dan tiktok adalah antara platform media sosial yang sangat popular dimasa kini. Ramai orang menggunakan platform ini untuk berkongsi tentang kehidupan mereka dan pengguna lain boleh memberi pendapat dan pandangan masing masing diruangan komen. 

Pendapat dan komen yang positif semestinya akan memberi kesan yang baik kepada pengguna tetapi malangnya kita juga akan menerima komen negatif yang boleh menjejaskan kesihatan mental. 

Menurut laman sesawang healthline,

Dalam tinjauan 2021 yang dibuat oleh ExpressVPN, 86 peratus daripada 1,500 rakyat Amerika melaporkan bahawa media sosial secara langsung memberi kesan negatif terhadap kebahagiaan dan imej diri mereka. Antara 79 dan 83 peratus melaporkan kesan negatif terhadap kebimbangan, kesunyian, dan kemurungan.

Oleh itu, kita perlu mengambil langkah bijak dengan berehat dari media sosial buat sementara waktu bagi membaik pulih kesihatan mental. Kita akan memperolehi banyak manfaat sekiranya berehat seketika dari menggunakan sosial media.

Ini Adalah Manfaat Berehat Dari Media Sosial Buat Sementara Waktu

1. Lebih Tenang Dan Lebih Yakin (Confident) Dengan Diri Sendiri

Meluangkan masa di sosial media kadang kadang boleh menyebabkan kita kehilangan rasa yakin dengan diri sendiri. Ini kerana dalam dunia maya seperti instagram, pengguna suka berkongsi gambar dan perkara indah yang tiada cacat celanya sehingga membuatkan kita rasa apa yang kita miliki tidak setanding mereka. 

Apabila kita merasakan hidup kita tidak beruntung seperti mereka sedikit sebanyak akan memberi kesan negatif kepada tubuh badan. Berehatlah seketika dari media sosial InsyaAllah korang akan rasa lebih tenang dan keyakinan diri juga akan bertambah. 

Membandingkan diri kita dengan orang lain lebih lebih lagi di sosial media adalah sangat tidak sihat. Kehidupan yang sempurna di sosial media belum tentu sama dengan realiti, jadi jangan seksa diri memikirkan sesuatu yang boleh menjejaskan kesihatan mental kita.

2. Kualiti Tidur Akan Bertambah Baik 

Menurut artikel yang dikongsikan di laman sesawang The Edge Markets, Rakyat Malaysia meluangkan 141 setahun melayari internet dan secara purata pengguna di Malaysia menghabiskan masa sehingga 9 Jam 18 minit sehari melayari internet.

Dalam 9 jam 18 minit tersebut, Pengguna Malaysia menghabiskan masa selama 3 Jam 1 minit pada sosial media. Menghindarkan diri dari menggunakan social media pastinya akan memberi kesan kepada waktu tidur kita. Setuju atau tidak?

Aku yakin ramai diantara kita semua suka meluangkan masa di platform sosial media sebelum tidur. Perbuatan tersebut boleh menyebabkan waktu tidur terganggu. Jadi, sekiranya kita berehat dari media sosial pastinya kita dapat tidur yang lebih berkualiti.

Untuk pengetahuan korang, Tempoh masa tidur yang mencukupi untuk orang dewasa adalah dalam lingkungan 7 hingga 8 jam.  


3. Kehidupan Sosial Akan Menjadi Lebih Baik 

Berehat seketika dari media sosial akan memberi kesan yang baik kepada kehidupan sosial kita. Zaman sekarang ini kalau beriadah bersama keluarga atau kawan kawan kita lebih banyak masa dengan telefon pintar dan kurang berkomunikasi sesama sendiri. 

Jadi, Aku cadangkan untuk berehat sebentar dari media sosial dan habiskan masa bersosial dengan kawan kawan atau keluarga dengan melakukan aktiviti luar. 

Dengan melakukan aktiviti luar seperti bersukan atau beriadah bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim malah ianya akan memberi kesan yang baik untuk kesihatan tubuh badan kita. 

4. Lebih Fokus Dalam Melakukan Sebarang Pekerjaan 

Pernah atau tidak korang menggunakan sosial media sewaktu melakukan pekerjaan dan menyebabkan kerja yang dilakukan tergendala?

Kalau perkara ini pernah berlaku, korang seharusnya membuat sesuatu supaya dapat memberi perhatian penuh kepada kerja yang dibuat. Bagaimanakah caranya?

Semestinya dengan berehat dari menggunakan media sosial buat sementara waktu. Prestasi dan kualiti kerja korang pasti akan berubah apabila melakukan perkara tersebut. 

5. Dapat Mengurangi Stress

Seperti yang aku kongsikan pada awal artikel, kita akan mendapat pelbagai reaksi dari pengguna lain apabila membuat posting di media sosial. Komen negatif yang diterima akan memberi kesan buruk kepada kita.

Jadi, dengan menghindarkan diri dari memuatnaik gambar atau berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali di sosial media akan memberikan ketenangan kepada diri kita dan seterusnya dapat membantu mengurangi masalah stress.

Menjaga kesihatan mental sangat penting untuk membantu perkembangan hidup kita. Tidak salah untuk berehat seketika dari menggunakan platform media sosial buat sementara waktu untuk kebaikan diri sendri dan orang sekeliling. 

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama