Pengalaman Menginap Di Jewels Hotel Kota Bharu Kelantan

Pengalaman Menginap Di Jewels Hotel Kota Bharu Kelantan | Sudah lama rasanya aku tidak berkongsi tentang pengalaman menginap di hotel yang berada di kelantan. Artikel paling terkini tentang penginapan hotel adalah pada tahun 2022 iaitu berkenaan Holiday Villa Kota Bharu Kelantan. 


Sewaktu berjalan jalan di bandar Kota Bharu Kelantan melalui Jalan Hospital korang pasti akan nampak satu tempat penginapan yang diberi nama Jewels Hotel. 

Aku tak pernah berpeluang untuk menginap di Jewels Hotel sebelum ini kerana tiada keperluan tetapi pada bulan puasa tahun 2023 aku menginap disana untuk majlis berbuka puasa. Jadi, aku mengambil kesempatan ini untuk berkongsi pengalaman aku sepanjang satu malam di Jewels Hotel Kota Bharu Kelantan.


Beginilah keadaan bangunan Jewels Hotel pada siang hari. Ianya bukanlah hotel besar yang bertingkat tingkat tingginya tetapi masih menjadi salah satu hotel pilihan mereka yang datang berkunjung di Bandar Kota Bharu sebagai tempat penginapan.

Lokasi Jewels Hotel Kota Bharu Kelantan

Jewels Hotel Kota Bharu Kelantan berada di tengah tengah Bandar Kota Bharu berdekatan dengan beberapa kemudahan dan tempat menarik yang boleh dikunjungi seperti Muzium Negeri Kelantan, Street Art Kota Bharu, Cafe The Layers, Kopi Mesin, Bazaar Tok Guru dan lain lain lagi.
Jewels Hotel Kota Bharu Kelantan
Alamat : Lot 1159  1162, Seksyen 11, Jalan Maju,15000 Kota Bharu, Kelantan, Malaysia
Nombor Telefon : 09-7474788

 Tidak hairanlah kenapa ramai suka menginap dekat sini sebab banyak juga tempat yang menarik untuk dikunjungi dan yang paling menarik tetamu hotel boleh berkunjung ke pasar malam yang diadakan betul betul bersebelahan dengan hotel. Pasar malam tersebut dibuka setiap hari dari jam 8 malam hingga 12 malam. 

Lobi Jewels Hotel Kota Bharu Kelantan

Bagaimana pula dengan keadaan di dalam hotel? Jom aku kongsikan dengan korang keadaan didalam hotel terutama sekali lobi dan juga bilik yang aku tinggal selama dua hari satu malam.

Jewels Hotel bukannya tempat penginapan yang berada di bangunan besar. Jadi, lobi hotel tidaklah besar seperti hotel lima bintang tetapi ianya selesa dan sangat bersih. Disediakan juga kerusi untuk pengunjung duduk berehat sambil menunggu proses check in.

Walau pun bukan hotel yang bertingkat tingkat tingginya, Jewels Hotel Kota Bharu Kelantan masih menyediakan lift untuk memudahkan tetamu untuk ke bilik masing masing. Dikawasan lobi juga terletaknya dua dewan yang dipanggil Dewan Emas dan Dewan Platinum.


Selain itu terdapat kemudahan lain seperti restoren yang dikenali dengan nama Restoren Suasa. Sarapan pagi untuk tetamu akan disediakan di restoren tersebut tetapi aku lupa nak ambil gambar keadaan di restoren tersebut untuk dikongsikan dengan korang. 

Bilik Jewels Hotel Kota Bharu Kelantan

Sewaktu datang ke Jewels Hotel Kota Bharu Kelantan aku menginap di Bilik Deluxe atau Deluxe Room yang selesa. Dari segi keluasan pula bagi aku ianya tidaklah besar dan tidaklah terlalu kecil. Masih selesa sekiranya ada dua orang tetamu dalam bilik tersebut.


Untuk bilik air atau tandas juga sangat selesa untuk aku. Alhamdulillah dapat bilik air yang dijaga dengan baik. Dalam bilik ini ada tingkap yang boleh kita tengok bahagian luar tapi tak menarik sangat pun sebab tiada apa yang boleh dilihat hehe. Keadaan aircond pula ianya berfungsi dengan baik dan tiada masalah pun sewaktu aku menginap. 


Satu masalah yang aku rasa ramai orang akan hadapi sewaktu menginap di hotel ini adalah parking. Kalau tak silap aku mereka ada menyediakan tempat parking tetapi ianya terhad. Jadi, korang yang datang menaiki kenderaan perlu mencari parking sendiri. 

Masalah parking ini aku rasa bukan hanya di Hotel ini. Rata rata hotel di Bandar Kota Bharu mempunyai masalah yang sama mungkin disebabkan oleh ruang yang terbatas menjadikan tempat parking juga terhad untuk diletakkan kenderaan melainkan kalau kita menggunakan parking berbayar yang ada di sekitar hotel. Agak merisaukan sekiranya ianya berada sedikit jauh dari tempat penginapan.

Aku harap dengan perkongsian kali ini dapat memberi informasi yang korang perlukan dan membantu korang untuk memilih hotel yang sesuai sewaktu berkunjung ke bandar kota bharu kelantan. Sekiranya ada pertanyaan boleh letakkan soalan tersebut dibahagian komen ya. 
Terbaru Lebih lama