Kebaikan Dan Khasiat Avokado Yang Ramai Tidak Tahu!

Avokado atau nama saintifiknya Persea Americana mempunyai banyak kebaikan dan khasiat yang tersendiri. Menurut laman sesawang malay.wiki, Avokado dipercayai berasal dari Puebla Mexico. Penggunaan avokado dalam makanan kurang popular di Malaysia berbanding di negara Mexico dan negara negara Amerika Selatan yang lain.

Avokado juga dikenali sebagai buah mentaga atau alligator pear. Ianya digunakan dalam pelbagai jenis makanan seperti salad, wraps, minuman dan juga pencuci mulut tapi jarang kita lihat makanan berasaskan avokado dijual di kedai makan negara kita.

avokado yang dibelah baik untuk kesihatan dan kurus

Walau pun begitu, penggunaan avokado tidak asing bagi mereka yang ingin mengamalkan hidup sihat dan mereka yang cuba untuk kuruskan badan kerana avokado mempunyai banyak khasiat yang boleh membantu kita memperbaiki kualiti kesihatan tubuh badan.

Khasiat Avokado Untuk Badan Yang Lebih Sihat | Kurus Dan Sihat Dengan Avokado

1. Avokado Kaya Dengan Nutrien Yang Baik

Untuk pengetahuan korang, avokado kaya dengan vitamin dan mineral yang penting untuk tubuh badan kita. Antara vitamin dan mineral yang terdapat dalam avokado adalah vitamin B6, vitamin E, folate, kalium (Potassium), vitamin C dan vitamin K. 

Berbanding dengan buah buahan yang lain avokado mengandungi kandungan gula yang sangat rendah. Menurut laman web Medical News Today (www.medicalnewstoday.com), Separuh avocado dengan berat 100g mengandungi 0.66g gula dan karbohidrat bersih yang boleh dihadam hanyalah 1.8g sahaja untuk setiap 100g avocado. 

Avokado juga mempunyai fiber. Setiap 100g avokado terdapat kandungan fiber yang tinggi iaitu sebanyak 6.7g. Fiber adalah salah satu komponen yang penting untuk tubuh badan kita terutama sekali kepada mereka yang mengamalkan diet sihat. 

Kalau korang nak dapatkan maklumat tentang kandungan nutrisi yang lebih lengkap boleh singgah ke laman web Medical News Today.

2. Avokado Memberi Manfaat Kepada Kesihatan Usus

Kita perlu menjaga amalan pemakanan yang seimbang untuk mengelakkan beberapa masalah penghadaman seperti cirit birit dan sembelit. Usus yang sihat dapat mencegah beberapa jenis penyakit yang melibatkan sindrom gangguan iritasi usus ( Irritable bowel syndrome) contohnya ulcerative colitis dan crohn's disease.

Menurut website myhealth, dalam usus kita terdapat bakteria baik dan juga bakteria jahat. Bakteria bakteria ini perlu seimbang bagi memastikan sistem penghadaman berjalan dengan lancar. 

Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan bakteria dan organisma dalam usus. Salah satunya adalah diet yang tidak seimbang. Sebagai contoh, pengambilan serat yang tidak mencukupi dalam diet yang dilakukan. Tahukah korang, kurang pengambilan serat boleh menyebabkan peningkatan populasi bakteria jahat dalam usus.

InsyaAllah dengan pengambilan Avokado boleh membantu meningkatkan pertumbuhan bakteria baik dalam usus. Selain itu, pengambilan avokado dapat membuatkan kita kenyang lebih lama dan membantu masalah sembelit kerana ianya kaya dengan serat larut air dan juga serat tidak larut air
  • Serat larut air dapat melambatkan proses penghadaman, jadi kita akan rasa kenyang lebih lama.
  • Serat tidak larut air mempercepatkan proses pergerakan makanan dalam usus dimana ianya dapat  membantu mencegah sembelit.
 

3. Avokado Makanan Sesuai Untuk Kuruskan Badan

Cara yang betul untuk kuruskan badan adalah dengan mengamalkan diet yang seimbang dan lengkap dengan pelbagai jenis makanan setiap hari berpandukan piramid makanan Malaysia. Merujuk kepada piramid makanan di laman sesawang myhealth.gov.my, ianya terdiri daripada 4 aras dan salah satunya adalah aras 2 yang melibatkan buah buahan dan sayur sayuran. Avokado termasuk dalam aras tersebut.

Avokado adalah sejenis makanan yang mempunyai kandungan karbohidrat yang rendah dan gula yang rendah. Jadi, ianya sesuai untuk mereka yang ingin mengawal dan mengurangkan berat badan. 

4. Avokado Membantu Menaikkan Kadar Kolestrol Baik & Kurangkan Kadar Kolestrol Jahat

Kolestrol adalah sejenis lemak yang juga dikenali sebagai lipid. Ianya diperlukan oleh badan untuk bekerja dengan baik tetapi jika kita pengambil makanan yang mengandungi kolestrol yang tinggi ianya boleh membahayakan kesihatan.

Jenis Jenis Kolestrol

  • Kolestrol LDL (Low-Density Lipoprotein) - Dikenali sebagai kolestrol jahat.
  • Kolestrol HDL (High-Density Lipoprotein) - Dikenali sebagai kolestrol baik.

Avokado mempunyai kandungan asid lemak tak tepu (monounsaturated fatty acids (MUFAs)) yang membawa kebaikan kepada kesihatan dimana ia boleh membantu menaikkan kadar kolestrol baik dan juga menurunkan kadar kolestrol jahat. 

Jika kolestrol dapat dikawal dengan baik, kita dapat mengelakkan beberapa jenis penyakit seperti serangan jantung dan strok. 

5. Avokado Baik Untuk Mata

Avokado mengandungi lutein dan Zeaxanthin yang baik untuk mata. Dua komponen ini dapat melindungi mata daripada kerosakan mata seperti sinaran ultraviolet (UV) dan ianya juga  membantu mengurangkan penyakit mata kronik seperti katarak.

6. Avokado Membantu Merendahkan Tekanan Darah 

Selain serat atau fiber, Avokado juga mengandungi kandungan kalium (Potassium) yang tinggi. Lebih tinggi daripada buah pisang! Untuk pengetahuan korang, jumlah kandungan kalium dalam avokado adalah 485mg untuk setiap 100g. 

Maklumat tentang buah avokado

Makanan yang kaya dengan kalium  penting dalam menguruskan tekanan darah tinggi kerana kalium dapat mengurangkan kesan natrium (mineral yang terkandung dalam garam). 

Semakin banyak kalium yang kita makan, semakin banyak natrium dibuang melalui air kencing. Kalium juga membantu mengurangkan ketegangan di dinding saluran darah yang membantu menurunkan lagi tekanan darah.

Kalau ikutkan pembacaan aku melalui artikel yang dikongsikan avokado memang ada banyak nutrien yang boleh membantu meningkatkan kualiti kesihatan tubuh badan kita. Jadi, aku harap penggunaan avokado dalam makanan di Malaysia diperbanyakkan lagi supaya kita semua dapat menikmati hidangan yang sedap dan sihat. 
Terbaru Lebih lama